Sahabatku sekalian, bakal-bakal doktor insyaAllah dalam sedikit masa,
Bukanlah cerita tadi kupandai-pandai mereka-reka,
Tapi ia adaptasi kisah benar yang berlaku di depan mata...
Sekali air bah, sekali pantai berubah, begitulah jua manusia...
Namun, apakah pangkat yang meningkat satu anak tangga,
Membolehkan kita bertambah angkuh 10 kali ganda?
Apakah tanggungjawab yang bertambah di bahu bila bergelar M.O. atau specialist misalnya,
Melayakkan kita menengking dan memarahi staff ‘bawahan’ dengan sewenang-wenangnya?
Terjustifikasikah alasan itu semua?
Bukanlah kisah tadi kuceritakan untuk mengaibkan sesiapa,
Apatah lagi sekadar untuk suka-suka sahaja,
Namun semata-mata sebagai pengajaran untuk kita semua...
Sebab apa agaknya ya?
Sebab, suatu hari nanti sahabat semua,
Kita juga dengan izin Yang Maha Kuasa,
Akan turut melalui proses yang sama,
Akan turut berada di posisi H.O. & M.O. dan seterusnya...
Sangat sedih kan kawan-kawan semua,
Bila melihat doktor-doktor Muslim yang sangat bijak dan berjaya,
Namun sayang, tidak terpamer akhlaq Islami pada dirinya,
Bahkan lebih menimbulkan penyesalan di dada,
Karakter doktor-doktor non-Muslim, lebih menggambarkan akhlaq Islam yang sebenarnya!
Kalaulah setiap kita dari UIA atau dari U mana-mana sahaja
Dapat bekerja dengan professional tanpa menggadaikan kerendahan hati dan akhlaq yang mulia
Alangkah bagusnya, alangkah indahnya...
Kawan-kawan, nanti bila dah jadi M.O., specialist atau consultant yang kaya-raya,
Dah jadi insan dihormati dan orang yang ternama,
Hati-hatilah terhadap penyakit hati ujub dan bangga,
Kerana penyakit hati ini sangat sukar menemui penawarnya,
Walaupun cuba diubati oleh doktor terbaik di dunia
Ingatkan diri... Kita angkuh macamana pun, takkan membawa kita ke mana-mana
Kerana pangkat, harta dan nama takkan kekal ke akhirat sana
Bukankah sombong itu sifat sang Iblis durjana
Yang menyebabkan ia, terhalau keluar dari Syurga
Jangan pernah merasa, “Aku lebih baik dari si dia”
Bukankah kita semua akan kembali ke tanah yang sama
Dari Allah kita datang, kepada Allahlah kembalinya kita
Jangan sesekali lupa status kita sebagai hamba
Jangan pernah lupa, sombong itu hanya layak untukNYA
Bekalkanlah diri dengan rendah hati dan tawadhu’ sentiasa
Dari saat ini, dan hari-hari seterusnya
InsyaAllah... peringatan buat diriku yang seringkali terleka...
Mohon maaf sebanyak-banyaknya, andai ada yang terasa...
Yang baik bolehlah diambil, yang buruk ditinggalkan sahaja...
“Sifat sombong itu selendang-Ku dan keagungan itu pakaian-Ku. Barangsiapa yang menyaingi (menyekutui)-Ku dari keduanya, akan Aku masukkan ke neraka Jahannam.”
(Hadith Qudsi Riwayat Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad)
"Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan."
(Hadith Riwayat Muslim)



