ABDULLAH Ahmad Badawi menyatakan sesuatu kepada Mohamad Hasan ketika melihat model Bandar Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Nilai, semalam. NILAI 31 Mac - Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM13.7 bilion tahun ini bagi menambah baik kemudahan penjagaan kesihatan bagi rakyat Malaysia termasuk membina lebih banyak hospital, klinik dan kuarters, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk membeli peralatan baru, meningkatkan bekalan ubat-ubatan, pembangunan sumber manusia, aktiviti penyelidikan dan penguatkuasaan.
Menurutnya, pada tahun lepas, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM11 bilion dan angka itu meningkat setiap tahun sejak 1983.
"Masalah penyakit seperti kencing manis dan kanser semakin meningkat. Mengambil kira kedua-duanya, peningkatan ini menyebabkan pembiayaan penjagaan kesihatan sektor awam melonjak naik sejak dua dekad lepas," katanya semasa berucap pada majlis pecah tanah Bandar Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Bandar Enstek hari ini.
Abdullah berkata, Malaysia telah berjaya melangkah keluar daripada kepompong kesihatan cara lama dengan memperkasakan sektor itu dalam kaedah lebih maju ke hadapan sejak dua dekad lalu.
"Kita telah berjaya meletakkan jenama kesihatan dikagumi dengan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan bertaraf dunia, selain mempunyai satu tenaga kerja yang terlatih dan berkelayakan,'' katanya.
Beliau menambah, daripada segi operasi dan pengurusan hospital, negara ini mempunyai tenaga pakar yang semakin mendapat pengiktirafan dunia.
"Lebih membanggakan, pemilikan dan operasi hospital Malaysia kini diperluaskan ke negara seperti Indonesia, India, Vietnam dan negara lain," katanya.
Menurutnya, dengan segala kepakaran yang ada dan pelaburan yang bijak itu, kepercayaan negara lain terhadap perkhidmatan kesihatan di negara ini akan meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan perubatan serantau.
"Dalam hal ini, hospital swasta juga perlu memainkan peranan dalam meningkatkan serta menyalurkan perkhidmatan terbaik selaras dengan dasar kesihatan negara," jelas Perdana Menteri.
Beliau juga menegaskan salah satu kunci di belakang kejayaan ekonomi sesebuah negara itu banyak bergantung kepada kesihatan penduduk dan rakyatnya.
"Pembangunan modal insan tidak hanya tertumpu kepada faktor latihan dan pendidikan semata-mata tetapi hendaklah juga memastikan rakyat cergas dan mempunyai kesihatan yang baik.
"Penjagaan kesihatan yang baik akan meningkatkan kualiti pendidikan, sekali gus melahirkan modal insan yang cemerlang," tegas Abdullah.
Perdana Menteri juga mahu Bandar Perubatan UIAM menjadi tunggak dalam melahirkan insan pakar dalam perubatan sebagaimana Ibnu Sina.
Projek Bandar Perubatan UIAM dibangunkan di atas kawasan seluas 60 hektar menelan belanja RM4.7 bilion.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Rektor UIAM, Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm